Translate

Monday 11 February 2013

Tips Menyemai Benih Habanero

Sekadar berkongsi pengalaman sebelum ini.

1. Sebaiknya gunakan bekas kecil atau dulang khas semaian. (letak di tempat teduh, elakkan daripada hujan)

2. Isikan setiap bekas dengan tanah yang tidak menakung air, sebaiknya ambil tanah bakar dari belakang rumah dan dicampur dengan pasir, nisbah 3:1 (jangan dipadatkan agar benih mudah bercambah). Tidak digalakkan menggunakan tanah hitam yang dijual di pasaraya sebaliknya saya cadangkan beli Holland Peat Moss untuk lebih cepat bercambah dan anak benih akan menjadi lebih subur.

3. Tanam benih tidak terlalu dalam, kurang 0.5 inchi. (1 bekas = 1 biji)

4. Tidak terlalu kerap siram, (2 kali sehari) gunakan spray sekadar melembabkan (pastikan tanah sudah kering)

5. Bila anak pokok sudah mengeluarkan 2 set daun (4 helai daun yang lebih kurang sama besar), ia sudah bersedia untuk dipindahkan ke polibag.

6. Sebelum pindah ke polibag, 'ajar' ia main panas dahulu untuk proses pengerasan batang dengan cara letak bawah sinaran matahari selama 3 hari. Saya hanya ajar ia main matahari pagi sahaja 8-12 tgh, kerana tak sanggup biarkan ia berhadapan dengan panas 12-5 ptg.

7.Apabila batang bertukar warna gelap bermakna ia sudah bersedia untuk dipindahkan.

selamat mencuba

# Hasil Pertama

Hari ini beberapa biji cili habanero yang sudah matang telah selamat diambil. Pengalaman pertama mendapat hasil daripada tanaman sendiri sungguh mengujakan walaupun hanyalah beberapa biji sahaja.




Cili habanero segar dari pokok... Tak sabar nak cuba bagaimana pedas nya habanero ni .




Apa macam, dah cukup berani ke?  haha

# Cubaan Kedua


Ini merupakan eksperimen kedua saya menyemai benih-benih habanero. Lebih kurang 200+ biji benih habanero telah saya semai menggunakan dulang khas. Kali ini lebih teratur dan direkodkan segala perkembangannya. Semoga semuanya akan bercambah dengan sempurna.




Tarikh disemai 27.01.2013. Elakkan daripada menanam biji benih terlalu dalam ke dalam tanah. Sebaiknya tidak melebihi kedalaman 1/2 inchi.




Benih pertama yang mula bercambah pada 10.02.2013. (Genap 14 hari). Kebiasaannya benih habanero akan mengambil masa 14 - 35 hari untuk bercambah bergantung pada keadaan tanah dan kesihatan benih. Paling cepat 14 hari jika benih dalam keadaan baik. Jika benih dijangkiti kulat, ia akan rosak dan tidak akan bercambah. Untuk mengelakkan benih diserang kulat, elakkan kerap menyiram tanah. Pastikan tanah kering secukupnya sebelum menyiram.




Pada peringkat ini cukup untuk membasahkan permukaan tanah menggunakan spray air sahaja. Jika menggunakan tong penyiram, dikhuatiri biji benih akan tercampak keluar.




Updated minggu ke4 (24.02.2013)
Lebih separuh anak benih telah bercambah.




Pada minggu ke4 ada anak benih yang sudah mula mengeluarkan 4 helai daun




Ada juga anak benih yang dijangkiti penyakit 'lecuh anak benih'. Anak benih akan melecuh di pangkal dan akan rebah seterusnya mati. Ini disebabkan oleh penggunaan medium yang kurang sesuai daripada tanah hitam / tanah bakar yang di beli di pasaraya. Tanah ini memang mudah mengundang kehadiran kulat.




Lecuh anak benih adalah berpunca daripada serangan kulat Rhizoctonia sp. dan Pythium sp. Ia boleh dicegah dengan cara merendam biji benih dengan racun anti kulat sebelum menyemai. Cara ini akan saya lakukan pada semaian yang akan datang. Semaian kali ini saya langsung tidak bersedia untuk berhadapan dengan penyakit ini.





# Kaedah Penanaman

Penanaman menggunakan polibag. Kaedah ini amat berkesan sekali memandangkan kesuburan tanah sangat terkawal. Pokok cepat membesar dan mengeluarkan hasil.



Gunakan polibag yang agak besar supaya akar pokok dapat berkembang dengan baik serta dapat menyerap nutrien secukupnya.




Kelihatan daun pokok kerinting dan pokok menjadi bantut. Masalah ini berpunca daripada serangan serangga perosak kutu aphids dan thrips. (Updated) Pokok yang berpenyakit sudah pun dimusnahkan dikhuatiri akan menjangkiti pokok cili yang lain.




Penanaman di atas tanah. Daun pokok agak kekuningan mungkin disebabkan oleh virus penyakit bawaan serangga. Ini merupakan masalah utama penanaman pokok cili selain masalah daun keriting. Kebanyakan pokok yang saya tanam di atas tanah mempunyai masalah daun kuning walaupun bekalan air dan baja yang mencukupi. Atau mungkin juga berpunca daripada kandungan ph tanah yang kurang sesuai kerana sebelum menanam pokok cili, saya selalu menggunakan racun rumpai (Ecomax) di kawasan ini, bagi memusnahkan rumpai liar. Buah cili yang dihasilkan juga agak kecil berbanding hasil daripada pokok di dalam polibag.



# Cubaan Pertama




Teringin juga nak tanam sendiri pokok cili yang jarang-jarang terdapat di Malaysia ni. 5 bulan berlalu, pokok-pokok cili habanero yang ditanam di belakang rumah mula mengeluarkan hasil. Banyak juga yang telah masak dan bersedia untuk dipetik. Cili habanero ni agak lambat sedikit tumbesaran nya berbanding cili tempatan.

# Tentang Cili Habanero

Cili habanero, berasal dari bahagian Tengah Amerika khususnya Mexico merupakan antara cili yang terpedas di dunia. Pada tahun 2000 ia merupakan pemegang rekod sebagai 'Cili Paling Pedas Di Dunia' Guinness Book Of World Records. Ia memiliki skala kepedasan 100,000 - 500,000 Scoville Heat Unit (SHU). Pada masa ini rekod tersebut telah diambil alih oleh cili Trinidad Moruga Scorpion (1.5 - 2 juta SHU) Bayangkan betapa pedasnya.